Sedang santai membelek sebuah majalah tempatan, hati saya begitu tertarik dengan topik yang dipaparkan “ Cinta sebelum dan sesudah kahwin”. Hem......saya rasa ini adalah suatu perkara yang sering membelengu pasangan-pasangan yang sudah berkahwin. Sering kita dengar, masa hangat bercinta, semuanya indah belaka. Sedikit pun tidak ada kekurangan yang kita nampak pada pasangan kita. Asyik masyuk lah katakan. Jalan berpimpin tangan, erat seakan kembar siam.
Kala itu, kaulah bintang! Kaulah bulan. Apa jua sanggup ditelan. Dunia dirasakan penuh dengan pelangi cinta. Nak pergi shopping bersama, makan bersama, memancing bersama, pendek kata tidur je lain-lain. (sebab belum halal). Tapi, apabila sudah berkahwin, hemm... lain pula ceritanya. Kalau dulu bersama-sama, kini berasing-asing. Bila berjalan....tu dia! Jauh sebatu. Dah tak mahu pegang tangan, panas pulak katanya. Kalau dulu, sampai berpeluh-peluh melekit tak pula gaduh panas. Yelah, sayang katakan. Sekarang ini juga sayang tetapi kenapa cara dan keadaannya tidak seperti dulu.
Dari pemerhatian saya, jika dulu pasangan yang bercinta cuba memaparkan kehebatan dan kebaikan masing-masing. Bila sudah berkahwin, luar dan dalam pasangan telah kita ketahui. Ibarat macam dah tak ‘thrill’ lagi. Saya rasa tidak sepatutnya jadi begitu. Memetik kata-kata Dato Dr. Fadzillah Kamsah “ Suami yang cemerlang, adalah suami yang boleh membimbing isteri dan keluarganya ke arah yang baik. Suami yang sayang pada isterinya, cinta pada isterinya dan ucapan ‘I Love You’ itu penting dalam tatasusila seharian. Amalkan, apabila keluar dari rumah untuk bekerja, cium tangan suami. Suami pula cium dahi isteri. Baru cantik sebuah rumahtangga itu.”
Masa mula-mula berkahwin, orang kata zaman ‘honeymoon’ rasa cinta itu masih lagi hebat. Yelah sudah mendapat idaman kalbu, cukup jaga hati dan perasaan masing-masing. Kalau boleh nak berkepit 24 jam dirumah, sambil menikmati juadah dan menonton rangan televisyen. Apatah lagi jika dulu dah habis mengukur semua shopping complex.
Tetapi kini perasaan itu ibarat suam-suam kuku. Jangan pula mengamalkan ‘American Style’. You, hal you. I dengan dunia I. Suami keluar rumah pukul 8.30 pagi, isteri pula pukul 9.30 pagi sudah bersiap-siap. Suami ke office, isteri ke butik. Suami main golf, isteri sibuk berpersatuan. Dua-dua sibuk 24 jam. Langsung tak ada masa untuk berjumpa. “The golden time for each other, gone with the wind” Kasihan pada anak-anak yang nak lihat muka ayah ibu dalam seminggu pun cukup susah.
Kebanyakan suami-suami terlalu memanjakan diri sendiri. Maklumlah dah dapat isteri yang boleh menjaga diri dan perut, maka segala-galanya diserahkan ke atas bahu isteri. Tak tahu nak menolong walau membuang habuk rokok sekalipun. Balik dari kerja, duduk mengadap tv sambil membaca suratkhabar. Si isteri tunggang langgang di dapur nak menyiapkan juadah makan malam.
Kalau tak masak tak boleh juga, sudah menjadi tanggungjawab, tapi yang penatnya, isteri seorang. Telah banyak kita dengar, para isteri mengeluh kerana terlalu penat menguruskan rumahtangga dan banyak juga yang kita dengar para suami buat tak tahu saja. Lebih teruk jika ada anak. Isterilah yang nak masak, nak tengok anak. Semua di galas oleh sang isteri.
Seorang temanku sering mengeluh kepenatan akibat berulang alik ke Putrajaya. Nak pindah, tak boleh jugak sebab suami bekerja di KL, anak-anak bersekolah di KL. Jadiknya, seawal pukul 4 pagi, dia telah bangun menyediakan segala kelengkapan anak-anak termasuk si bapak. Hai….bayangkan, suami dan anak-anak sedap tidur berdengkur, si ibu sorang-sorang menggoreng cekodok pisang untuk sarapan dan bekalan. Kasihan.
Apabila membaca titipan saya ini, mungkin anda diluar sana ada yang sedang mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju dan ada juga yang tak kurang mencebik (kaum lelaki lah ni…) dan ada pula yang menjadikan tinta saya ini sebagai sajian buah fikiran buat seketika. Walau apa pun, fikirlah dan letak kan diri kita sendiri dalam situasi tersebut. Apa yang akan kita rasa ?
No comments:
Post a Comment