Thursday, December 4, 2008

PERGINYA CINTA ITU

Satu ketika di awal tahun 2008. Dedikasi untuk seorang teman.....semoga apa yg terjadi memberikan semangat baru pdnya...dan alhamdulillah...teman ku sedang meniti bahagia...


Awak adalah perkara yang terbaik di dalam hidup saya…..

kenangan lalu akan menjadi peneman kala kesunyian…

masa akan menentukan segala-galanya…..

saya sentiasa menanti kehadiran awak kembali dalam hidup saya .

Namun apakan daya, perasaan terkilan itu masih terasa.

Demi meneruskan hidup ini dan demi Kebahagiaan awak,

Saya lepaskan awak untuk mencari bahagia itu………


Begitulah antara bait-bait dari tinta terakhir yang kuterima seminggu sebelum hari pernikahan ku menjelma. Lalu satu persatu kenangan bersamanya terpapar di ruang mata. Tanpa sedar airmata mengiringi senyumku. Ah, dia adalah lelaki yang amat bermakna di dalam hidupku tujuh tahun yang lalu. Dia adalah lelaki yang menemani aku kala suka dan duka. Dia adalah lelaki yang melindungi aku kala aku memerlukannya.

Namun apakan dayaku, aku tidak mampu menolak takdirku. Qada dan Qadarku. Janji yang telah aku pateri kepada Allah swt di Loh Mahfudz. Ya Allah….berilah aku ini kekuatan dalam meneruskan hidup ini. Aku cuba untuk menjadi anak yang solehah. Aku tidak mahu terus-terusan dihimpit pertanyaan yang macam-macam. Mungkin ada yang bertanya, kenapa tidak ku pertahankan cinta itu. Kenapa aku tidak kuat untuk mengatakan pada mereka yang aku tidak mahu menerima insan lain dalam hidupku. Kenapa aku biarkan saja…..kenapa aku biarkan saja…….

Percintaan di kampus memang mengasyikkan. Waktu itulah, kita akan lebih mengenali pasangan sama ada mereka ini hanya untuk bersuka atau mencari titik noktah yang lebih pasti. Waktu itulah, harapan dan impian di kait bersama agar ia dapat menjadi sehelai baju buat pelengkap di kemudian hari. Manis sungguh saat itu. Saat yang tidak akan dapat diulang lagi. Walau betapa kuat ingatanku terhadapnya, tidak akan merubah apa-apa. Jari manisku kini tersarung sebentuk cincin yang mengikat aku dengan pria baru. Pria yang bukan pilihan hati ku. Oh hati..tabahlah dikau.


Jika kau berharap agar aku mencari bahagia, ketahuilah bahawa bahagia aku telah kau semat jauh ke dasar hatimu. Puas ku cari ia di pelabuhan yang ku singgah, tetapi tidak ku temui. Puas ku renang mencari di lubuk hatiku, tidak ku nampak titik bahagia itu. Yang ada hanyalah seraut wajah dan namamu yang terukir kemas di hatiku. Setiap detik jantungku berdenyut, seolah-olah memberikan aku nafas untuk terus hidup mengecapi nikmat yang Esa.

Aku tidak mampu untuk menoleh ke belakang lagi. Walau sekuat mana hatiku ditinggalkan, aku terpaksa mengorak langkah meninggalkan persada yang pernah aku lena. Aku kini cuba untuk menguatkan langkahku menapak di pelabuhan yang baru di bina. Aku cuba menitipkan sisa-sisa cinta yang masih ada.

Buat mu, ketahuilah dikau, aku tidak pergi dengan hati yang suka, aku pergi dengan hati yang lara. Hati yang entah bila akan menitipkan kembali cinta yang telah padam. Aku terpaksa berlaku adil pada ‘si dia’. Dia tidak tahu kisah silamku. Dia telah sedaya upaya menyemai benih-benih cinta agar aku tetap menghirup kemanisan cinta dunia. Dia telah cuba untuk melengkapkan aku agar berada di sisinya di Jabal Rahmah. Ya Tuhan….kiranya ini penentuan Mu, kiranya ini lukisan hidupku. Aku terima dengan redha. Ku pohon agar segala kekusutan ini terlerai dan permudahkan segala urusan ku didunia ini.

Dan buat mu ‘R’, seperti mana kau melepaskan aku, aku turut melepaskan mu dengan hati yang sayu. Kisah kita, tanam lah ia jauh-jauh di dasar hati. Kisah yang tidak mungkin akan terungkai lagi. Carilah cinta yang boleh kau lembarkan kasihmu. Berilah peluang pada dirimu dan juga pada si dia jika kau ketemu, agar dapat membenihkan kasih sayang yang tidak mungkin dapat aku berikan.

Aku akan sentiasa mendoakan kesejahteraanmu dan kebahagiaan mu. Kita tidak dijodohkan ‘R’. Kita hanya lah manusia-manusia yang bertemu atas kehendak Allah swt. Dan kini, ku lepaskan cinta itu pergi….pergi yang tidak mungkin akan kembali.





No comments: